Jumlah Paparan Halaman

cikgu awan fan page

Jumaat, 22 November 2024

Kelulusan pindaan akta 342 hansard 14 oktober 2024

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan 

Reformasi Institusi) [Tuan M. Kulasegaran a/l V. Murugeson]: Dato’ Yang di-

Pertua, 

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon

mencadangkan bahawa Mesyuarat pada hari ini tidak akan

ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan Rang 

Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 

(Pindaan) 2024 dan Rang Undang-undang Ordinan Buruh Sabah 

(Pindaan) 2024 seperti di nombor 1 dan 2 dalam Aturan Urusan

Mesyuarat dan usul-usul hari ini. Selepas itu Majlis Mesyuarat akan 

ditangguhkan sehingga pukul 10.00 pagi hari Selasa, 15 Oktober 

2024.”

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]: Ada Ahli 

yang menyokong?

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

[Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad]: Saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]: Baik. Ahli-

ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk 

diputuskan. 

[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]

RANG UNDANG-UNDANG 

 

RANG UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN DAN PENGAWALAN PENYAKIT 

BERJANGKIT (PINDAAN) 2024 

 

Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga 

 

 

 Aturan Urusan Mesyuarat dibaca bagi menyambung semula perbahasan yang ditangguhkan atas masalah, “Bahawa rang undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.” [18 Julai 2024] 

 

 Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]: Yang Berhormat-Yang Berhormat, saya telah menerima senarai sebanyak 10 orang Yang Berhormat akan berbahas. Masa diberi lima minit untuk setiap Yang Berhormat. Senarai adalah seperti berikut. Saya akan bacakan. Yang Berhormat-Yang Berhormat bersedia. 

 Pembahas yang pertama adalah Yang Berhormat Tenggara. Berikutnya, Yang Berhormat Kapar, Yang Berhormat Pasir Gudang, Yang Berhormat Pengkalan Chepa, Yang Berhormat Bentong, Yang Berhormat Kubang Kerian, Yang Berhormat Tanjong Karang, Yang Berhormat Kuala Krai, Yang Berhormat Tumpat dan pembahas yang terakhir adalah Yang Berhormat Arau. 

 Dengan itu, saya mempersilakan Yang Berhormat Tenggara untuk membuka tirai perbahasan. 

 

12.06 tgh.  

 Tuan Manndzri bin Nasib [Tenggara]: Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana beri ruanglah kepada Tenggara untuk bahas Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024. 

 Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada KKM dengan usaha untuk meminda Akta 342 ini dan saya beranggapan ia berlaku pada masa yang tepat dan memang semestinyalah mendapat persetujuan daripada majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat. Pindaan ini dibuat bagi mengemas kini dan menambah baik dan mengambil langkah bersiaga, memiliki daya tahan menangani kelompangan yang wujud dan memastikan kesinambungan keberkesanan penguatkuasaan Akta 342 menghadapi segala bentuk penularan wabak penyakit di masa hadapan. 

 Sebelum ini, negara dan dunia berdepan pandemik COVID-19 yang memberi kesan yang amat mendalam kepada masyarakat. Julai 2024, 5,306,070 kes COVID19 dan 37,350 kematian dan memberikan kerugian berbilion ringgit. Negara sekali lagi digemparkan dengan pengisytiharan kecemasan kesihatan global iaitu melibatkan penularan Wabak Cacar Monyet (MPOX) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos 2024 yang lalu berikutan lonjakan kes di Republik Demokratik Congo. Ancaman penularan ke negara-negara jiran juga berkemungkinan.  

 Tuan Yang di-Pertua, walaupun jumlah kes MPOX ini masih rendah dan terkawal kita tidak boleh memandang ringan situasi ini. Data KKM setakat September 204, 10 kes MPOX dilaporkan tanpa sebarang kematian dilaporkan sejak Julai 2023. Terdapat peningkatan kes di beberapa negara Asia Tenggara seperti Thailand sebanyak 827 kes MPOX dilaporkan,  termasuk 11 kematian sejak Januari 2022. Pastinya ini menimbulkan kebimbangan kerana Thailand dengan kita ini dekat sahaja.  

Penyakit berjangkit ini bukan hanya COVID-19 seperti saya sebut tadi dan penyakit-penyakit lain juga yang telah sebati dalam kehidupan masyarakat sekian lama mampu menyumbang kepada kadar kematian dan juga seperti demam denggi dan kepialu. Sudah tentulah pindaan ini dapat berikan satu penambahbaikan di masa akan datang, penting bagi mencegah penularan dapat mengurangkan kos perawatan dan juga kematian dan kehilangan nyawa. 

 Tuan Yang di-Pertua, terdapat empat perkara Tenggara ingin sentuh terhadap pindaan Akta 342 ini. Pertama adalah seksyen 14A yang baharu. Tenggara sambut baik pengasingan dan pengawasan, namun, subseksyen (2) yang disebut dengan “Seseorang pegawai diberi kuasa boleh menggunakan kekerasan yang perlu untuk memastikan perintahnya dipatuhi.”  

Jadi, ini kita minta didefinisikan dan diberikan limitasi tertentu berkaitan dengan perkataan kekerasan yang digunakan. Disebut dalam akta yang mampu mengundang keresahan kepada masyarakat untuk kita mengelak bagi disalah guna dan dibangkitkan oleh masyarakat. Mohon juga kepada KKM beri penjelasan rangka garis panduan yang jelas apakah mekanisme yang digunakan bagi mengukur kekerasan yang dilakukan, melangkaui limitasi atau tidak dan siapakah pegawai yang diberikan hak dan kuasa untuk melakukan kekerasan yang dimaksudkan.  

Penghidap sesuatu penyakit kita kena ingat bukan lah seorang penjenayah. Kita tidak mahu melihat stigma dan sebarang penganiayaan berlaku kepada manamana pesakit sehingga mampu berlakunya kemudaratan lain. 

■1340 

Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua adalah berkaitan dengan seksyen 15A baharu yakni perintah bagi maksud pengesanan dan pemantauan. Tahniah KKM manfaatkan penggunaan teknologi baharu seiring dengan peredaran masa, kemajuan berterusan dalam teknologi penjagaan kesihatan dan manfaat teknologi digital menyesuaikan diri dengan cabaran dunia moden selaras dengan apa yang ditulis dalam Buku Putih Kesihatan.  

Melalui peruntukan baharu ini, pegawai yang diberi kuasa perintah seorang untuk memakai apa-apa bentuk peranti pengesanan dan menggunakan apa-apa aplikasi digital dalam apa-apa peranti digital yang diperkenalkan. 

Tuan Yang di-Pertua, Tenggara mohon KKM menggariskan panduan nyatakan maksud yang jelas individu, situasi bagaimana yang perlu untuk memakai peranti pemantauan ini? Apakah jenis peranti yang dipakai dan adakah hanya untuk mengesan pergerakan semata-mata? Dunia teknologi ini bergerak pantas, terdapat peranti pemantauan pesakit jauh, mampu monitor tanda-tanda vital dan status kesihatan pesakit dan ia juga mampu mengurangkan kos kerajaan. Bagi teknologi digital, adakah aplikasi MySejahtera digunakan kembali atau diwajibkan semula untuk pemantauan penyakit berjangkit bukan hanya COVID-19... [Disampuk] 

Timbalan Menteri Kerja Raya [Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan]:  

[Berucap tanpa menggunakan pembesar suara] 

Tuan Manndzri bin Nasib [Tenggara]:  Terima kasih, Pontian.  

Terdapat 36 penyakit berjangkit dan ia terus menerus berada di sekeliling, di sekitar kita pada hari ini. Adakah suatu aplikasi baharu akan dibangunkan bagi menggantikan MySejahtera. Penggunaan teknologi Artificial Intelligent (AI) misalannya, peralatan bantuan kecacatan buatan mampu membantu tugasan termasuk juga pemantauan penyakit. Adakah seksyen 15A akta ini juga ada mengambil kira perkembangan penggunaan teknologi baharu serta artificial intelligent dalam pengesanan penyakit berjangkit. 

Tuan Yang di-Pertua, yang ketiga adalah berkaitan dengan seksyen 21A baharu, kuasa Ketua Pengarah yakni- last-lah ya. Tenggara merasakan kuasa yang diberikan kepada Ketua Pengarah yang disebut sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. Kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa-apa cara kepada mana-mana orang atau golongan orang dan pengamal perubatan untuk mengambil apa-apa langkah. Kuasa yang diberi terlalu luas dan tiada limitasi mampu mengakibatkan salah guna kuasa, berlakunya pertindihan percanggahan dengan kuasa Menteri Kesihatan.  

Negara kita bukan sentiasa berada dalam keadaan darurat. COVID-19 misalannya mungkin ada keperluan diberi kuasa yang lebih untuk buat keputusan. Keadaan yang biasa apakah masih lagi ada keperluan tersebut, kuasa Ketua Pengarah ini? Kementerian perlu meneliti, kenal pasti dan menyatakan secara terperinci skop kuasa- menyenaraikan secara terperinci skop kuasa, keputusan, langkah-langkah, peraturan kawal selia yang diperlukan serta arahan yang boleh dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan supaya tidak disalah guna.  

Tuan Yang di-Pertua, mungkin setiap pandemik berbeza, kita dapat letakkan satu pengukur aras, bentuk satu komuniti panel melibatkan semua pemegang taruh di dalam satu Jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang kompeten dan berkelayakan untuk membuat sama-sama keputusan bagi mengurangkan apa-apa stigma dan persepsi yang negatif kepada masyarakat. Itu saja Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.  

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]: Baik Yang Berhormat. Berikutnya saya mempersila Yang Berhormat Kapar. 

 

12.13 tgh. 

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar]: Terima kasih kepada Yang di-Pertua. 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Yang diPertua atas ruang diberikan kepada Kapar untuk membahaskan rang undangundang bertujuan meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau yang dipanggil Akta 342 yang mempunyai 33 seksyen dan dua Jadual. 

Kapar mendapati Akta 342 ini telah pun dipinda sebanyak empat kali, jadi saya nak bertanya kepada kementerian, pihak Menteri, apakah sebenarnya yang mendorong Kementerian Kesihatan meminda akta untuk kali kelima ini? Saya dah baca huraian itu, tetapi saya nak kaitkan yang disebutkan oleh Tenggara tadi.  

Apakah isu yang dihadapi kementerian bila berhadapan dengan punca asal kemasukan COVID-19 yang dikatakan dibawa masuk oleh pelancong Wuhan, China yang kemudian merebak ke seluruh negara dan menyebabkan natijah yang kompleks dan merugikan? Jadi saya mahu tahu dengan pindaan Akta 342 ini dan lesson learned dengan izin, kegagalan di pintu masuk, kegagalan kawalan di pintu masuk negara semasa kawalan awal bermulanya wabak COVID-19 dan apakah hasil yang akan diperoleh sekiranya RUU ini dipinda?  

Saya difahamkan bahawa keengganan kerajaan pada 2019 untuk memperketatkan kawalan pergerakan ialah kerana PKP akan menjejaskan ekonomi negara. Maka, sekiranya berlaku lagi wabak penyakit berjangkit seperti COVID-19 dan kita lihat keadaan dunia, geopolitik sekarang ini biological welfare tidak boleh diketepikan, kena pre-empt, kita kena bersiap siaga apa juga. Jadi, adakah kerajaan akan sanggup lebih segera bertindak mengimplementasikan kuasa Pegawai Kesihatan Persekitaran- ini bahasa baharu, takrif baharu dan seumpamanya untuk segera contain, dengan izin atau rencatkan wabak daripada merebak dan menyegerakan PKP.  

Walaupun secara peribadi, saya lebih suka balik status quo iktiraf, istilah yang digunakan iaitu “Inspektor Kesihatan” sebab dia ada umph sikit, dia ada gah sikit dan pihak-pihak yang kalau kita nak buatlah akta ini segala kompaun, segala undangundang yang nak dibawa itu dia macam Inspektor Polis-lah kan, Timbalan Speaker?  Saya lihat cadangan isu hukuman kompaun. Fasal 12 meminda seksyen 25, Akta 342 untuk memberi Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai diberi kuasa untuk menawarkan kompaun bagi mana-mana kesalahan. Jadi, saya nak tanya, adakah pertimbangan sewajarnya turut diberikan kepada faktor sosioekonomi terutama mengambil kira impak kompaun terhadap golongan yang kurang berkemampuan serta pelan kerajaan untuk mengimbangi keperluan golongan ini?  

Apakah mekanisme yang diguna pakai bagi menentukan kadar denda yang dikenakan dan bagaimanakah dengan mereka yang melanggar SOP secara tidak sengaja atau mungkin keliru dengan SOP sedia ada? Adakah proses rayuan yang juga tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah jika seseorang individu membuat rayuan atas kesalahan tersebut? 

Satu lagi Yang di-Pertua, tadi ada lah hukuman punitif. Bagaimana dengan pendidikan kesihatan kepada orang awam, supaya lebih bersedia, supaya lebih bekerjasama, boleh menerima apa yang nak dibawa dalam pindaan-pindaan sebegini? Kuasa pegawai memerintahkan pengasingan dan pengawasan.  

Bagi fasal 5 di mana ia membolehkan seorang pegawai diberi kuasa untuk mengeluarkan apa-apa perintah yang perlu dipatuhi oleh mana-mana yang dijangkiti atau dia mempunyai sebab untuk percaya telah dijangkiti atau mana-mana konteks bagi maksud pengesanan dan pemantauan. Bagi perintah yang melibatkan pemakaian peranti pengesanan yang disediakan ataupun penggunaan aplikasi digital sebagaimana yang ditentukan oleh pegawai diberi kuasa, apakah pendekatan yang diambil untuk memastikan keberkesanan peranti, pengesanan digital?  

Sekarang ini bukan masa wabak, adakah sudah ada roadmap bagi pihak kerajaan  nak pastikan, nak buat testing, nak buat ujian supaya ia berkesan, sekaranglah waktunya. Jadi, sejauh manakah aktiviti pemantauan dijalankan dalam masa nyata atau real time terhadap individu yang menjalani perintah pengawasan atau pemerhatian kuarantin di rumah?  

Saya juga bersetuju dengan Tenggara tadi di mana kita tidak mahu salah guna kuasa oleh pihak yang terlibat yang diberi kuasa. Jadi saya mahu tahu apakah, bagaimanakah kerajaan, pihak kerajaan nak pastikan kuasa yang diberikan itu lagilagi dengan menggunakan istilah kekerasan tidak digunakan sewenangwenangnya? Jadi prevention is better than cure.  

Last sekali, apakah usaha penambahbaikan KKM terhadap prosedur pengurusan kes positif dan kontak rapat kes berjangkit serta proses saringan dan ujian yang terlibat? Apakah perancangan khusus kerajaan terhadap aplikasi MySejahtera supaya fungsinya dapat dioptimumkan sepenuhnya dan diperluas sebagai pusat sehenti atau super-apps seperti yang disyorkan untuk menawarkan lebih banyak fungsi perkhidmatan berasaskan kesihatan dan sebagainya?  

Jadi saya mahu melihatkan kalau dulu wabak COVID-19, kita tidak bersedia jadi dengan lesson learned yang begitu berharga dengan mungkin kos dan sebagainya, dengan PKP yang telah dijalani, ekonomi termasuklah stress yang telah pun dikatakan natijah dapat COVID-19.   

■1220 

 Jadi, saya mahu tahu, apakah persiapan pihak Kementerian Kesihatan supaya kita ini dapat saja macam vaksin, dapat saja signal trigger ada wabak ini, MPox is very mild, bukan macam COVID-19. Apakah yang kerajaan, kementerian sudah pun bersedia untuk contain sebab kita dikatakan one of the best- tahniah kepada Pagoh sebagai Perdana Menteri ketika itu yang berani mengambil satu tindakan yang begitu positif untuk menyelamatkan kita rakyat negara Malaysia. 

Terima kasih, Yang di-Pertua. 

 Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor]: Berikutnya, saya mempersilakan- terima kasih Yang Berhormat Kapar. Berikutnya saya mempersilakan Yang Berhormat Pasir Gudang. 

 

12.20 tgh. 

Tuan Hassan bin Abdul Karim [Pasir Gudang]: Terima kasih Dato’ Timbalan Yang Di-Pertua. Saya melihat tujuan pembentangan Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 ini, tujuannya bagus. Kita baru melepasi wabak COVID-19 dan yang terkini yang membimbangkan rakyat ialah wabak berjangkit ini yang dipanggil cacar monyet- monkeypox (Mpox) ini. Saya nak fokuskan kepada perkara ini. 

Jadi, saya inginkan penjelasan daripada Timbalan Menteri ataupun Menteri Kesihatan, bagaimanakah RUU pindaan ini, Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berkesan untuk melakukan pencegahan dan pengawalan penyakit seperti monkeypox ini iaitu saya ambil contoh, di Selatan Johor, ada tujuh Parlimen- Johor Bharu, Tebrau, Pasir Gudang, Iskandar Puteri, Pulai, Pengerang, Kota Tinggi. Ada sekurang-kurangnya enam pintu masuk berjiran dengan Singapura, berjiran dengan Indonesia- Tambak Johor- Causeway; kedua, laluan kedua- Kompleks Sultan Abu Bakar; ketiga, Terminal Feri Stulang Laut; keempat, Terminal Feri Pasir Gudang; kelima Terminal Feri Puteri Harbour, Iskandar Puteri; dan keenam, Lapangan Terbang Senai. 

Setiap hari beribu-ribu rakyat keluar masuk antara dari Johor, Malaysia ke Singapura, begitu juga dari Indonesia datang ke negara kita ini melalui laluan yang saya sebut itu. Jadi, bolehkah Kementerian Kesihatan menyatakan, yang mana dapat dilakukan oleh pindaan undang-undang ini untuk mencegah penyakit yang berjangkit ini daripada sampai ke negara kita. 

Ini saya rasa amat bimbang kerana walaupun daripada segi ekonominya bagus, hubungan dengan negara-negara jiran ini, tetapi daripada pengalaman yang lepas-lepas, banyak penyakit berjangkit ini datang ke Malaysia ini daripada negaranegara luar sana melalui terminal feri, melalui Tambak Johor, melalui lapangan terbang dan sebagainya. Jadi, saya inginkan penjelasan itu iaitu secara praktisnya pindaan ini, bagaimana boleh mengawal penyakit seperti monkeypox ini? Kerana ini menakutkan, membimbangkan rakyat.  

Perkara yang terakhir yang ingin saya kemukakan Dato’ Timbalan Speaker iaitu saya mengharapkan kepada Kementerian Kesihatan, memandangkan Hospital Pasir Gudang yang sedang hampir siap dibina, insya-Allah mungkin awal tahun depan boleh beroperasi, saya berharap di Hospital Pasir Gudang itu akan ada unit khas dalam usaha melakukan pencegahan dan pengawalan penyakit. Begitu juga klinik kesihatan yang sedang dibina sekarang yang mungkin hujung tahun ini akan siap dapat membantu pengawalan penyakit berjangkit seperti denggi, tibi dan sebagainya. 

Jadi, saya menyokong rang undang-undang ini, tapi inginkan penjelasan secara praktisnya bagaimana ia RUU ini betul-betul praktikal untuk membantu pengawalan penyakit dan pencegahan penyakit berjangkit itu. Sekian, terima kasih Tuan Speaker. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor]: Terima kasih Yang Berhormat Pasir Gudang. Pemakluman, ada tambahan pembahas. Saya meluluskan untuk tambahan dua YB ini. Nombor 11, Yang Berhormat Jelutong dan nombor 12, Yang Berhormat Kulai.  

Okey, berikutnya saya mempersilakan Yang Berhormat Pengkalan Chepa.  

 

12.26 tgh. 

Datuk Dr. Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa]: Bismillahi 

Rahmani Rahim. Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua. Pertama sekalinya, saya juga ingin berbahas sama dalam perkara yang RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024. Tuan Yang di-Pertua, tidak dinafikan Malaysia berdepan dengan dua cabaran besar dalam sektor kesihatan. 

Pertama, penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit. Penyakit berjangkit seperti COVID-19, demam denggi dan tuberkulosis masih menjadi ancaman walaupun vaksinasi COVID-19 telah mencapai tahap yang membanggakan. Menurut data terkini Kementerian Kesihatan Malaysia, walaupun kes COVID-19 ini lebih terkawal, Malaysia masih lagi berhadapan dengan wabak denggi yang mencatatkan peningkatan kes. Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Mei ialah 57,220 kes berbanding 41,175 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2023. 

Manakala, terdapat 40 kematian akibat daripada demam denggi telah dilaporkan berbanding 26 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun yang lalu. Sudah tentu penyakit berjangkit ini masih memberi tekanan kepada sektor kesihatan awam untuk menanganinya. Selain itu, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan juga penyakit jantung turut menyumbang kepada permasalahan sektor kesihatan negara.  

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, kadar diabetes di Malaysia telah mencapai tahap yang membimbangkan dan jika dibiarkan akan meningkat daripada 3.9 juta pada tahun 2019 kepada tujuh juta orang pada tahun 

2025. Kira-kira 34.38 peratus daripada penduduk negara mencapai paras gula, darah tinggi HbA1c melebihi 6.5 persen yang merupakan ambang kepada diagnosis diabetes. Peningkatan ini berkait rapat dengan gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan gula dan lemak yang tinggi dan kurangnya aktiviti fizikal.  

Tuan Yang di-Pertua, saya meneliti beberapa perkara yang terdapat dalam RUU ini yang dibahaskan pada hari ini menyedari beberapa perkara yang pada saya tidak relevan iaitu dalam fasal 4, fasal 5 dan fasal 14. Secara amnya, Akta 342 atau lebih dikenali sebagai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit adalah undang-undang yang membolehkan Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Kesihatan mengambil langkah-langkah tegas terhadap pengawal penyakit berjangkit. Namun, pindaan terhadap akta ini terutamanya fasal 4, 5 dan 14 yang diperkenalkan baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat. 

Fasal 4 sebagai contoh, memperuntukkan kuasa kepada Pegawai Kesihatan untuk mengasingkan seseorang yang mempunyai sebab untuk percaya atau dengan kata mudahnya disyaki telah dijangkiti penyakit berjangkit. Perkataan “mempunyai sebab untuk percaya” ini terlalu subjektif dan membuka ruang kepada seorang Pegawai Kesihatan untuk membuat keputusan berdasarkan syak wasangka sematamata. 

■1230 

Walaupun objektif utama fasal ini adalah untuk melindungi orang ramai daripada risiko jangkitan, namun kebergantungan kepada syak wasangka tanpa bukti klinikal yang jelas boleh menyebabkan salah guna kuasa dan pelanggaran hak asasi individu. 

Fasal 50 membolehkan pegawai diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan untuk seorang yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti memakai peranti pengesanan seperti gelang pengesanan atau menggunakan aplikasi digital tertentu untuk pemantauan.  

Walaupun tindakan ini berpotensi untuk meningkatkan keupayaan kerajaan dalam menjejak individu yang berpotensi menyebarkan penyakit, ia juga menimbulkan kebimbangan mengenai privasi data peribadi. Apabila- apakah jaminan kerajaan bagi memastikan kebebasan dan keselamatan data individu tersebut dijamin mengikut lunas undang-undang? 

Fasal 14 dalam pindaan Akta 342 ini memberi kuasa kepada Menteri untuk menetapkan penalti sehingga RM8,000 atau penjara dua tahun bagi individu dan sehingga RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan yang melanggar peraturan. Walaupun bertujuan memastikan pematuhan peraturan kesihatan, terdapat kebimbangan bahawa kuasa ini boleh disalahgunakan tanpa pemantauan yang rapi. Penalti yang tinggi mungkin memberi kesan tidak seimbang kepada individu berpendapatan rendah. Saya menggesa supaya fasal ini disemak semula bagi menjamin keadilan sosial untuk mengambil kira faktor sosioekonomi masyarakat malah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut melahirkan kebimbangan yang sama berhubung perkara ini.  

Tuan Yang di-Pertua, bagi memastikan Akta 342 tidak disalah gunakan, kerajaan perlu meletakkan langkah-langkah kawalan yang ketat, mekanisme semak dan imbang yang jelas, pemantauan daripada NGO yang lebih banyak untuk memastikan ia mengikut lunas undang-undang dan tidak menganiayai rakyat kebanyakan. Di samping itu, latihan dan panduan kepada pegawai diberi kuasa perlu diberikan bagi memastikan mereka membuat keputusan yang adil.  

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan memperkasakan MySejahtera sebagai super apps kesihatan yang bermanfaat buat rakyat. Pembangunan apps MySejahtera adalah bertujuan untuk menangani wabak COVID-19. Sekiranya dimanfaatkan sebaiknya, MySejahtera akan menjadi platform kesihatan yang komprehensif. Antara cadangan peningkatan MySejahtera adalah menjadikannya sebagai aplikasi untuk menyimpan rekod perubatan individu, mengatur temu janji dengan klinik atau hospital yang lebih efisien serta memantau kesihatan secara digital. Bagi mengoptimumkan penggunaan MySejahtera di seluruh Malaysia, kerajaan perlu mengatasi beberapa cabaran termasuk menyediakan capaian Internet yang lebih efisien.  

Yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, saya nak bangkitkan juga persoalan yang berkaitan dengan apa yang ditimbulkan kebimbangan baru-baru ini apabila kadar- IJN mengumumkan kadar kenaikan fi antara 10 hingga 40 peratus terhadap pesakit yang dirawat di IJN dengan alasan inflasi dan peningkatan kos penjagaan kesihatan.  Namun, timbul persoalan mengapa kenaikan ini diperlukan sedangkan IJN Holdings Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Sepatutnya lebih menyediakan peruntukan dan subsidi yang lebih banyak dan juga lebih mencukupi untuk mengekalkan harga rawatan yang berpatutan supaya ianya tidak membebankan rakyat. Sekian, terima kasih.  

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor]: Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Chepa. Berikut, saya mempersilakan Yang Berhormat Bentong. 

 

 

12.34 tgh. 

Puan Young Syefura binti Othman [Bentong]: Terima kasih Tuan Yang diPertua. Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana atas peluang berbahas ini. Kita sedia maklum bahawa akta ini telah memainkan peranan yang penting dalam usaha kita untuk memerangi penularan penyakit berjangkit di Malaysia, tetapi perubahan zaman dan cabaran baharu memerlukan kita mengemas kini undang-undang ini akan lebih berkesan dan relevan. 

Pengalaman kita melalui Covid-19 yang lalu tengah mengajar kita untuk bersiap siaga dan bertindak lebih pantas untuk menyekat penularan penyakit berjangkit ini daripada merebak dan mengorbankan ribuan nyawa.  

Pertama sekali saya ingin memulakan perbahasan ini dengan membangkitkan berkenaan seksyen 14(A) subseksyen 1 yang memberikan kuasa kepada pegawai kesihatan untuk memerintahkan mana-mana orang yang disyaki telah dijangkiti oleh sesuatu penyakit berjangkit untuk menjalani pengasingan atau pengawasan selama tempoh yang dirasakan perlu.  

Di dalam subseksyen 2 pula, Pegawai Kesihatan tersebut diberikan kuasa untuk menggunakan kekerasan di dalam menjalankan perintah tersebut. Saya seperti mana rakan-rakan yang lain juga yang telah menyertai perbahasan ini ingin sama-sama menyuarakan kebimbangan atas kuasa yang diberikan kepada Pegawai Kesihatan ini. Saya faham dalam pada kita menghadapi situasi penularan penyakit berjangkit yang berbahaya, kadang-kadang memerlukan penguatkuasaan yang ketat untuk memastikan kepatuhan.  

Malah, saat kita dilanda pandemik, para Pegawai Kesihatan kitalah antara barisan hadapan yang bertungkus kumus untuk memastikan keadaan kesihatan awam kita dalam keadaan terkawal. Namun begitu, saya mengesyorkan agar ada garis panduan yang jelas terhadap bagaimana kuasa ini dapat dijalankan. Kita tidak mahu berlaku insiden kekerasan yang tidak sewajarnya dilakukan walau atas nama kesihatan awam. 

Kedua, berkenaan dengan seksyen 15(A) yang memberikan kuasa kepada Pegawai Kesihatan untuk mengeluarkan perintah pengesanan dan pemantauan terutamanya dari sudut memakai atau membawa apa-apa peranti, pengesanan atau peranti digital bagi maksud pemantauan. Saya mendukung apa-apa penggunaan teknologi untuk membuat pengawasan terhadap mereka yang dijangkiti agar penyakit dapat dikawal dengan lebih berkesan. Namun begitu, saya mohon agar pihak kementerian dapat memastikan SOP yang jelas agar pengawasan ini tidaklah sehingga menceroboh ruang peribadi dan penggunaan data yang tidak diperlukan.  

Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin menyentuh seksyen 21(A) berkenaan kuasa Ketua Pengarah. Sekali lagi saya mohon dan mendukung semangat sepenuhnya peranan Ketua Pengarah dalam mengendalikan apa-apa krisis penyakit berjangkit ini. Walau bagaimanapun, adakah lebih baik sekiranya ada mekanisme semak dan imbang bagi meneliti dan menilai apa-apa keputusan, arahan dan garis panduan yang dikeluarkan. Seharusnya apa-apa keputusan dapat dibincangkan dan mendapat persetujuan Menteri Kesihatan agar tanggungjawab ini dapat dipikul bersama setelah mengambil kira sudut pandangan kesihatan dan keutamaan kepada rakyat.  

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkenaan dengan penalti am di bawah seksyen 24 dan juga kompaun di bawah seksyen 25. Saya percaya kita perlu mencari keseimbangan di antara mendidik dan menghukum. Saya- bagi mana-mana kesalahan kali pertama, mereka patut diberikan apa-apa peringatan dan amaran dan kita hanya memberikan hukuman kepada mereka yang mengulangi kesalahan. Ini kerana penalti am dan pengkompaunan kesalahan ini terdedah kepada golongan rentan yang tidak cakna dan tidak mempunyai kesedaran yang jelas tentang kesalahan yang dilakukan. 

Saya mohon agar pihak kementerian dapat menjalankan kempen kesedaran yang meluas dan mendidik masyarakat untuk mematuhi peraturan-peraturan yang dikeluarkan. Saya fikir kita perlu angkat lagi peranan komuniti awam untuk membuat pemantauan sesama mereka agar membentuk sikap peduli dan tanggungjawab untuk menjaga kesihatan dan keselamatan sendiri, keluarga dan masyarakat. Jadi, Bentong menyokong. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.  

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Dr. Ramli bin Dato' Mohd Nor]: Terima kasih Yang Berhormat Bentong. Berikutnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Kubang Kerian.  

 

12.38 tgh. 

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian]: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.  

Terima kasih Yang di-Pertua atas kesempatan ruang yang diberikan kepada saya untuk berbahas dan saya mulakan perbahasan dengan memetik suatu hadis Nabi SAW... [Berucap dalam Bahasa Arab. Yang maksudnya, “Bila kamu mendengar wabak di suatu tempat, janganlah kamu masuk ke tempat tersebut dan bila mana kamu berada di tempat itu, maka janganlah kamu keluar daripada tempat tersebut.” Hadis riwayat Imam Muslim.  

Hari ini memberi erti kepada kita betapa pentingnya kawalan penyakit berjangkit dapat dilakukan sejak zaman Nabi SAW. Saya lihat bahawa pindaan Akta 342 ini menjadi fokus perbincangan kita terutama selepas berlakunya wabak COVID19 pada tahun 2020. Pindaan ini pada ketika itu bertujuan untuk memperkukuhkan kawalan kesihatan awam selepas kita berdepan dengan pandemik yang belum pernah dialami oleh negara bahkan dunia. 

■1240 

Secara amnya, RUU yang dibentangkan pada mesyuarat kali ini adalah sama dengan usaha yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini pada 2021. Walaupun ketika itu ada pihak Pembangkang yang menentang usaha yang telah dibuat oleh pihak kerajaan pada waktu itu dan hari ini mereka ada di dalam Kabinet. Kita boleh refer balik pada kenyataan-kenyataan yang dibuat waktu mana kerajaan dahulu mengawal ya, pencegahan wabak penyakit ini. 

Saya melihat bahawa Akta/RUU 342 ini boleh disifatkan sebagai langkah penting bagi memastikan kerajaan lebih bersedia menghadapi sebarang krisis kesihatan masa depan kerana undang-undang yang sedia ada yang digubal pada tahun 1988 mungkin tidak sesuai dengan suasana yang berlaku pada waktu ini terutama dengan wabak yang lebih kompleks dan melibatkan pelbagai sektor.  Namun, dalam masa yang sama, terdapat beberapa perkara yang ingin saya bangkitkan.  

Pertama, berkaitan dengan pindaan seksyen 2 yang menggantikan perkataan, “had lapangan terbang dan pelabuhannya” dengan perkataan, “had lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan daratnya.”  

Penambahan dan perluasan wilayah ini tentulah melibatkan peningkatan tenaga kerja, dan saya melihat banyak pintu masuk negara kita termasuk Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang dan Johor Bahru akan menyebabkan penambahan kakitangan dan fasiliti.  Persoalannya ialah adakah kerajaan bersedia turut sama, bukan meminda sahaja, tetapi menambahkan kakitangan supaya penambahan ini selaras dengan bilangan kakitangan yang akan menjalankan tugas dan fungsi nanti? 

Kedua, difahamkan keperluan semasa untuk pegawai kesihatan persekitaran (PKP) di Malaysia masih tidak mencukupi. Memandangkan beban kerja yang semakin meningkat khususnya selepas pandemik COVID-19, saya melihat menjadi satu keperluan kerajaan untuk menyerap pegawai bekerja dalam situasi kontrak yang tidak menentu nasib mereka bagi menampung tugas yang kompleks dan kritikal ini. Alangkah baiknya kalau kerajaan menyerapkan tenaga-tenaga kontrak ini menjadi kakitangan tetap pihak kementerian. 

Kerajaan harus memfokuskan kepada rekrut dan melatih lebih ramai pegawai serta memastikan kestabilan jawatan, termasuk bagi pegawai kontrak, supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan berkesan tanpa kebimbangan terhadap status pekerjaan mereka.  Waktu COVID-19 dulu, kita dengar bagaimana sebahagian di antara nurse kita terpaksa dihantar ke Sabah dan Sarawak dan mereka dihantar pada waktu yang sangat kritikal. Saya fikir perkara ini tidak sepatutnya berulang pada masa hadapan. 

Seterusnya, saya merujuk kepada pindaan seksyen yang sama iaitu takrifan 

“stesen kuarantin” yang diperluaskan kepada mana-mana hospital dan tempat.   

Saya ingin bertanya, sejauh mana persediaan yang telah dilakukan untuk memastikan kapasiti dan fasiliti tempat tersebut mencukupi dan bersedia pada bilabila masa untuk melaksanakan pencegahan dan kawalan penyakit? Adakah kerajaan telah mengenal pasti kelengkapan semua hospital serta tempat diletakkan dengan kemudahan peralatan yang diperlukan? Apakah mekanisme pemantauan yang akan digunakan untuk memastikan tempat-tempat ini dapat berfungsi dengan cekap sekiranya berlaku wabak? 

Seterusnya, saya mengajukan persoalan berkenaan dengan proses pengeluaran kompaun yang kini ditentukan di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja.  Difahamkan perubahan baharu mewajibkan kompaun perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada Pendakwa Raya. Ini pastinya menambahkan birokrasi dalam proses ini. Soalan saya, apakah rasional di sebalik perubahan ini dan adakah kerajaan sedar bahawa langkah ini berpotensi melambatkan proses penguatkuasaan serta penambahan beban pentadbiran? 

Akhir sekali, memandangkan masa yang tidak mencukupi, saya ingin membangkitkan isu pemeriksaan kesihatan di pelabuhan.  

Mengikut International Health Regulations 2005, pelabuhan diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Kawalan Sanitasi Kapal ataupun SSCC.  Walau bagaimanapun, fi bayaran untuk sijil ini ditetapkan oleh setiap negara. Di Malaysia, difahamkan bahawa kadar fi ini berbeza di setiap pelabuhan. Malah terdapat negerinegeri seperti negeri yang tidak bersekutu yang tidak mengenakan sebarang fi tertakluk kepada akta yang lama. 

Persoalan saya, berapakah kadar bayaran semasa dikenakan di setiap pelabuhan Malaysia dan adakah kerajaan bercadang untuk menyelaraskan kadar fi ini supaya lebih munasabah dan seiring dengan amalan dengan negara-negara lain yang juga berpotensi menjadi sumber bagi pendapatan negara pada masa hadapan? 

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]:  Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Selanjutnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Tanjong Karang. 

 

12.44 tgh. 

Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi [Tanjong Karang]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Malaysia Madani. Terima kasih Dato’ Yang diPertua yang telah memberi ruang Tanjong Karang turut membahaskan RUU Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342. 

Tuan Yang di-Pertua, pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 amat wajar disokong oleh semua Ahli Parlimen dan diluluskan dengan kadar segera bagi memastikan kesinambungan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan kawalan penyakit berjangkit itu sendiri di negara kita.   

Antara isu utama yang menyebabkan beberapa kali pindaan akta ini dibahaskan di Dewan yang mulia ini adalah mengenai isu kompaun. Sebenarnya nilai-nilai kompaun ini adalah wajar disokong sepenuhnya memandangkan kesalahan tidak mematuhi prosedur kawalan penyakit berjangkit ini amat besar impaknya. Boleh menyebabkan berlakunya penularan wabak penyakit yang amat merbahaya dan risiko kematian kepada ramai orang. Hukuman yang berat ini akan dapat memberikan pengajaran, dalam masa yang sama mendidik rakyat tentang pentingnya kerjasama dan mematuhi arahan yang diberikan dalam mengekang penularan penyakit-penyakit berjangkit. 

Antara pembaikan yang akan dilakukan termasuk cadangan meningkatkan nilai kompaun daripada RM1,000 kepada RM5,000 dan ianya dibezakan antara individu dengan pertubuhan perbadanan. Manakala bagi pertubuhan dan perbadanan pula, dicadangkan untuk ditingkatkan kepada tidak melebihi RM50,000. Nilai RM50,000 ini ditetapkan bagi pertubuhan perbadanan kerana ianya bertanggungjawab memastikan organisasinya serta tempat kerjanya selamat dan tidak menyebabkan berlakunya penularan penyakit berjangkit. 

Kita- semua telah lalui ketika pandemik COVID-19 dahulu. Banyak peraturan dan arahan-arahan baharu digunakan bagi menguatkuasakan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan COVID-19 dahulu. Ia membabitkan perintah pengasingan atau pengawasan terhadap individu yang dijangkiti wabak dan mereka yang disyaki, perintah pemakaian ataupun penggunaan peranti pengesanan atau alat seumpamanya, arahan ketua pengarah, penguatkuasaan dan peruntukan dalam Akta 342 serta kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan. 

Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Karang menyokong penuh RUU pindaan Akta 342 ini yang mana terdapat cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan bagi menambah baik akta ini yang membabitkan Bahagian I, Bahagian IV, Bahagian IVA, Bahagian V dan Bahagian VI. Tanjong Karang juga menyokong penuh lima cadangan pindaan terhadap peruntukan sedia ada yang membabitkan seksyen 2(1) iaitu mengenai tafsiran pegawai yang diberi kuasa, seksyen 10 iaitu kehendak untuk pemberitahuan mengenai penyakit berjangkit, seksyen 24 iaitu nilai baharu bagi penalti am dan seksyen 25 mengenai pengkompaunan kesalahan dan seksyen 31 iaitu kuasa membuat peraturan. 

Melalui pindaan seksyen 2(1) untuk meluaskan tafsiran pegawai diberi kuasa yang ketika ini hanya terhad kepada pegawai kesihatan, inspektor kesihatan dan pegawai yang dilantik. Kemudian, pindaan seksyen 10 membolehkan pengamal perubatan memberitahu kewujudan penyakit berjangkit di mana-mana premis walaupun tanpa pengesahan diagnosis melalui ujian makmal. Cara pemberitahuan bukan terhad kepada hanya borang notis sahaja, tetapi juga dibuat melalui e-mel, panggilan telefon, sistem aplikasi tertentu seperti eNotifikasi, SIMKA dan sebagainya. 

Akhirnya, Tanjong Karang berdoa semoga Malaysia terhindar daripada sebarang pandemik dan sekiranya ianya berulang lagi, maka kita- semua telah lebih bersedia dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan). Ini diharap mampu mengawal dan mengekang penularannya di masa akan datang. 

Tuan Yang di-Pertua, Tanjong Karang mohon menyokong pindaan Akta 342 ini. Sekian. Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.  Terima kasih. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]:  Terima kasih Yang Berhormat Tanjong Karang. Selanjutnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Kuala Krai. 

 

12.49 tgh. 

Tuan Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai]: Bismillahi Rahmani 

Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato’ Yang diPertua. 

■1250 

Kuala Krai ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan simpati saya kepada semua peniaga yang terjejas akibat kebakaran di Pasar Besar Kuala Krai awal pagi tadi. Saya amat bersimpati dengan ujian berat yang menimpa semua peniaga. Kejadian ini pastinya memberikan kesan yang besar, bukan sahaja daripada segi ekonomi, tetapi dari sudut emosi. Saya berharap semua yang terlibat dapat diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat sukar ini... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Semoga Allah mengurniakan pahala kepada mereka atas musibah yang menimpa dan menggantikan dengan yang lebih baik. 

Dato' Yang di-Pertua, Kuala Krai juga mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 

Berjangkit [RUU 342] (Pindaan) 2024 pada kali ini.  

Saya merujuk kepada fasal 3 iaitu meminda seksyen 10 [Akta 342] untuk mengehendaki tiap-tiap Pengamal Perubatan yang mempunyai sebab untuk percaya atau mengesyaki wujudnya apa-apa penyakit berjangkit untuk memberikan notis dalam apa-apa cara sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah. 

Persoalan saya, apa respons kerajaan terhadap kebimbangan yang disuarakan sebelum ini dalam kalangan Pengamal Perubatan, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) agar semakan pindaan RUU ini dibuat secara menyeluruh terlebih dahulu? Adakah sesi konsultasi dan libat urus yang berterusan telah dijalankan semua pihak berkepentingan, termasuk Pengamal Perubatan, pakar kesihatan awam, NGO dan wakil masyarakat sivil? Apakah komitmen kerajaan dalam mengambil pendekatan yang lebih seimbang untuk meningkatkan keupayaan dan pembangunan kapasiti sistem kesihatan awam serta kesiapsiagaan barisan petugas hadapan dalam bertindak balas terhadap penyakit berjangkit berbanding hukuman punitif semata-mata? 

Mengambil kira keberhasilan Pelan Imunisasi Kebangsaan (NIP) sewaktu pandemik, apakah perancangan kerajaan berhubung pembangunan vaksin menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara sebagai persediaan Malaysia menghadapi sebarang prospek penyakit berjangkit serta mempergiat aktiviti penyelidikan pembangunan vaksin halal di Malaysia?  

Adakah terdapat SOP baharu yang jelas mengambil kira pengajaran daripada pandemik lalu, terutama daripada segi kajian klinikal vaksin, kemudian infrastruktur seperti pusat pemberian vaksin dan pembudayaan komuniti melalui amalan- test, report, isolate, inform, seek (TRIIS)? Sejauh manakah penambahbaikan terhadap aktiviti pengesanan kesan-kesan sampingan akibat suntikan vaksin yang dijalankan oleh pihak kementerian dengan kerjasama Bahagian Regulatori Farmasi Negara? Ini mengambil kira rawatan susulan yang diberikan kepada penerima vaksin COVID-19 iaitu AstraZeneca yang dikenal pasti mengalami kesan sampingan.  

Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyokong cadangan daripada dua sahabat saya tadi iaitu daripada Kapar dan juga Pangkalan Chepa agar dapat diperkasakan penggunaan MySejahtera yang telah pun dibangunkan sewaktu pandemik dahulu dan dapat diperluas sebagai pusat sehenti seperti yang disyorkan.  

Tuan Yang di-Pertua, saya merujuk kepada fasal 12 iaitulah meminda seksyen 25, di bawah RUU ini, kompaun maksimum terhadap individu adalah sebanyak RM5,000, manakala kompaun maksimum untuk syarikat ataupun pertubuhan/perbadanan adalah RM50,000. Denda maksimum di bawah penalti am pula adalah RM10,000 untuk individu dan RM100,000 untuk syarikat.  

Soalan saya adalah sejauh manakah kerajaan melihat keperluan tindakan pengkompaunan ini dalam mencerminkan kepekaan kerajaan hari ini terhadap nasib rakyat ketika ini seperti yang pernah dituntut oleh Yang Berhormat Tambun dulu? Tambun pernah menyebut, “Jangan hanya nak naikkan denda. Denda ini saya bimbang, yang kena orang bawah. Petani, nelayan. Sebab itu saya tidak fikir keutamaan menaikkan denda, tetapi penguatkuasaan kena jelas.” Termasuk juga isu berkaitan dengan pendidikan kesihatan juga amat penting. Dalam pada kerajaan bertindak mengenakan hukuman punitif, apakah langkah yang diambil bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang teratur serta kempen kesedaran bagi menyokong usaha ini? 

Ini kerana hukuman yang berat semata-mata berpotensi membuka ruang kepada prospek salah guna kuasa dan sejauh manakah penekanan kementerian terhadap aspek pendidikan kesihatan awam untuk memastikan pencegahan dan kawalan penyakit yang berkesan? Sekali gus, meningkatkan kesedaran tentang pencegahan penyakit berjangkit dan pendidikan kesihatan secara amnya di kalangan masyarakat. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]: Baik, terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Berikut, saya mempersilakan Yang Berhormat Tumpat. 

 

12.55 tgh. 

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua kerana memberikan Tumpat untuk sama-sama membahaskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998. 

Yang pertama, berkaitan dengan apakah pelan tindakan kerajaan terhadap persiapan negara dalam kes pencegahan penyakit berjangkit yang telah lama berada dalam negara iaitu penyakit bawaan LGBT seperti MSM yang menyebabkan HIV yang kini tak mengenal umur dan juga mangsa yang kian meningkat? Adakah tempat khusus untuk rawatan HIV ini yang kita lihat semakin hari semakin meningkat dan berapakah kos yang telah ditanggung oleh pihak kerajaan akibat penyakit yang dimulakan dengan pilihan sendiri ini dan sekiranya melibatkan anggota kerajaan, apakah tindakan yang dikenakan kepada mereka? 

Yang ketiga, kaedah emosi dan trauma kepada mangsa HIV ini agar pulih dan akhirnya, tidak menyebarkan kepada pasangan dan komuniti kerana kalau tanpa kawalan seperti ini, ianya akan terus menular dan tidak tercegah.  

Kita lihat promosi LGBT banyak dibuat secara meluas dalam media sosial, termasuklah dalam Netflix. Adakah akta ini akan berkuat kuasa kepada operatoroperator seperti ini kerana ini bersifat boleh menggalakkan kepada penyakit berjangkit. Apakah dapatan kemudaratan dan kematian atas meningkatnya kesan kesihatan beberapa kes sebagaimana yang disebut oleh Kuala Krai tadi akibat kes vaksinasi COVID-19? Adakah negara mempunyai sebarang rundingan untuk mengadakan MoU dengan mana-mana negara bagi pembinaan vaksin sendiri dan peralatan bagi mengurangkan kos yang ditanggung negara sekiranya terdapat wabak pada masa akan datang?  

Seterusnya, berkenaan dengan PATI. Kita memahami bahawa kerajaan telah pun mengambil pendekatan vaksinasi kepada PATI dalam kes COVID-19. Jadi, dalam hal sekarang ini kita lihat bertambahnya kes berjangkit, khususnya TIBI yang makin aktif akibat kedatangan migran dan PATI yang tidak disuntik dengan imunisasi vaksinasi di negara asal mereka.  

Terdapat cadangan oleh pihak kerajaan untuk memberikan suntikan imunisasi kepada ibu hamil dan kanak-kanak yang dikira sebagai stateless yang ada di Malaysia dan berapakah anggaran kos dan siapakah pihak yang akan menanggung kos ini? Tahun 2020, data vaksinasi COVID-19 dibuat menggunakan MySejahtera dan apakah keadaan ataupun kaedah terkini yang akan digunakan untuk mendapatkan data yang tepat agar PATI yang membawa penyakit ini tidak menjangkiti dan tidak menular kepada rakyat kita, khususnya di kalangan kanakkanak?  

Seterusnya, berkaitan dengan hospital dan pusat kuarantin dan rawatan penyakit berjangkit di bawah seksyen 2. Apakah status MIID- Malaysian Institute of Infectious Disease atau Institut Penyakit Berjangkit Malaysia pada sekarang ini? Berapakah hospital dan klinik kesihatan yang dikhususkan untuk rawatan penyakit berjangkit agar ia boleh mencegah penularan dan kepakaran serta kecekapan dalam rawatan ini? Apakah SOP sebagai stesen kuarantin? Sebagai contohnya, sekarang ini kita lihat masa COVID-19 itu dibuat di Serdang, sekarang ini dah kembali kepada asal. Bagaimanakah kos yang telah pun dihabiskan untuk pembinaan tempat-tempat secara kontemporari seperti yang dibuat pada ketika itu?  

Kita juga ingin tahu, berapakah pakar dan pegawai sokongan bagi penyakit berjangkit yang ada dalam negara pasca COVID-19? Berapakah bilangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan di manakah mereka ini ditempatkan?  

Saya juga ingin merujuk kepada soalan saya sebelum ini berkaitan dengan Hospital Tumpat. Hospital Tumpat pernah dicadangkan untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Penyakit Berjangkit dan sememangnya hospital ini digunakan sepenuhnya untuk kawalan kes-kes COVID-19. Apakah status pembinaan pusat ini? Memandangkan Hospital Tumpat sangat uzur dan memerlukan penambahbaikan kerana jumlah pesakit biasa pun ramai, apatah lagi sekiranya berlaku wabak.  

Berapakah kos pembinaan dan bilakah ianya akan dimulakan dan saya juga ingin bertanya kepada kerajaan tentang sejauh manakah kebajikan bekas kakitangan kesihatan yang diambil secara kontrak semasa COVID-19? Apakah nasib mereka sekarang dan berapakah universiti dalam negara yang menawarkan kepakaran bagi kawalan penyakit berjangkit? Terima kasih. 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor]: Baik, terima kasih Yang Berhormat Tumpat.  

Yang Berhormat-Yang Berhormat, kalau kita lihat ini adalah satu- dipanggil pindaan kepada Akta Ibu. Jadi, kalau kita lihat daripada dasarnya, perbahasan kena berkisar di bawah Peraturan 36(1) sebagai refresher course kepada Ahli-ahli Yang Berhormat.  

Dengan itu Yang Berhormat, walau bagaimanapun masa telah tetap pukul 1 akan ditempoh, dan mereka baki iaitu Yang Berhormat Arau, Yang Berhormat Jelutong dan Yang Berhormat Pulai akan membahaskan pindaan rang undangundang ini pada pukul 2.30 petang nanti. Dengan ini, saya tempohkan persidangan ini ke jam 2.30 petang nanti. 

 

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 tengah hari] 

■1430 

[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang] 

[Timbalan Yang di-Pertua (Puan Alice Lau Kiong Yieng) mempengerusikan Mesyuarat] 

 

Timbalan Yang di-Pertua [Puan Alice Lau Kiong Yieng]:  Kita sambung semula perbahasan. Saya minta Yang Berhormat Arau. 

 

2.33 ptg. 

 Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim [Arau]: Bismillahi Brahmani Rahim.  Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh rakyat Malaysia, orang muda. Rang undang-undang ini sudah pasti ia baik. Kalau tidak baik ia tidak diperkenalkan tetapi yang paling penting ialah pelaksanaannya nanti. Biar dibuat hebat macam kita buat masa berlaku COVID-19 dahulu yang saya rasa rakyat Malaysia terlibat secara langsung sehingga kita berjaya di akhirnya mengawal COVID-19. 

 Cuma orang tanya saya, ini orang tanya, saya ingat hendak jawab pun tak apa, tak jawab tak apa, tetapi selepas vaksin yang ketiga ini apa dia impak, kesan, yang kita tahu ialah kematian sekarang meningkat. Saya boleh kata tiap-tiap hari di kawasan saya ada kematian.  Jadi orang tanya, apakah ini- oleh kerana banyak yang meninggal ini orang muda? Apakah kesan daripada vaksin yang ketiga? Asalnya ialah penyakit berjangkit. 

 Kemudian yang keduanya Yang Berhormat ialah seksyen 14A(2). Ini disebut perkataan “kekerasan”, apa dia maksud “kekerasan” Yang Berhormat? “Menggunakan kekerasan...” Kekerasan kena bagi sedikit penerangan.  Kekerasan ini pegang masuk dalam kereta ataupun tolak dalam kereta kalau dia tak mahu ikut, apa dia kekerasan?  Apakah boleh guna perkataan lain yang lebih lunak? Perkataan “kekerasan” itu makna kata kalau bahasa mudahnya cukup besar kesannya. Apakah dia kekerasan? 

 Kemudian yang keduanya, pindaan seksyen 2(c)(i), perkataan “darat.” Yang Berhormat, di sini disebut perkataan “darat” iaitu “Had lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat...” Kenapakah tak masuk laut? Kita kena ingat di sempadan laut kapal nelayan boleh menyebarkan penyakit di laut. Jadi apakah bidang kuasanya terhad di darat?  Bagaimana di laut? Itu soalannya sebab dia sebut khusus darat. Kenapakah tidak sebut darat dan laut?  Sebab sekarang ini, dunia sekarang ini laut dengan darat ini sudah menjadi sesuatu yang orang boleh access, dengan izin, dengan mudah. Malah bagi saya, laut lebih merbahaya sebab kawasan di sempadan sana ramai nelayan asing. 

 Kemudian yang ketiganya, penyakit berjangkit ini telah disebutkan oleh sahabat saya tadi iaitu tentang monkeypox atau cacar monyet. Saya hendak tanya daripada negara mana?  Bagaimana pengawalan yang dibuat di lapangan terbang? Saya tahu penyakit COVID-19 dahulu asalnya ialah daripada pelancong bawa ke sini dan orang sini bawa- orang tempatan bawa penyakit itu daripada luar. Jadi penyakit dari luar ini satu, orang asing yang datang.  Kedua, orang sini yang melawat ke negara yang berkenaan. 

 Jadi bagaimana kawalan dibuat? Semasa cuti yang lepas 100,000 rakyat Malaysia pergi melawat Thailand, 100,000 sampai sempadan jadi kelam kabut dibuatnya. Jadi apakah kehadiran mereka ke negara asing, mereka membawa balik benda yang baik ataupun sebaliknya. Jadi kita hendak tahu bagaimana kawalan dibuat sebab saya dimaklumkan penyakit ini sehingga 24 hari baharu dapat dikesan, penyakit cacar monyet. Jadi bagaimana mereka boleh kesan? Kalau dengan negaranegara itu yang kena cacar monyet (monkeypox) apa kita akan buat peraturan supaya bila mereka masuk ke sini atau orang sini pergi ke sana, peraturan tertentu supaya dikenakan kepada mereka.   

Keduanya, penyakit HFMD- hand, feet dan juga mouth, penyakit tangan, kaki dan mulut.  Ini yang berleluasa di peringkat kanak-kanak. Jadi bagaimana kawalan ini dibuat?  Ini juga penyakit berjangkit.  

Ketiga, yang sekarang berleluasa juga penyakit tibi. Bagaimanakah kawalan itu dibuat daripada peraturan yang ada sekarang? 

Kemudian yang kedua terakhir ialah IJN. Semua orang sebut fasal IJN. IJN ini pensioner telah dikeluarkan dan diarahkan pergilah ke mana-mana yang kamu suka.  Sudahlah kebanyakan pensioner itu mungkin terakhir bagi mereka untuk berada di IJN. IJN buat syarat pensioner kena dikeluarkan, tetapi Ahli-ahli Parlimen bukan pensioner, mereka masih boleh menggunakan IJN, kecuali Ahli Parlimen Arau telah dikeluarkan kerana dia ingat saya pencen. Saya tidak pencen lagi malah saya mungkin pergi lagi ke atas. 

Jadi tiba-tiba saya dianggap sebagai pensioner. Ini adalah tidak wajar dan yang buat peraturan ini ialah pihak Kementerian Kesihatan. Jadi, saya minta supaya pelbagai pihak melihat perkara ini dengan serius dan tegas supaya jangan dibuat pensioner begitu rupa.  Saya cadangkan pensioner yang berada di IJN diteruskan. Mereka pun saya tengok setengahnya tidak mahu lagi pergi hospital, tidak apalah kita terimalah apa yang terjadi. 

Jadi pihak kerajaan yang Madani, yang perpaduan, yang adil ini supaya bagi keadilan, yang itu kita hendak supaya rakyat hendak keadilan kepada kerajaan. Kena ingat bahawa sesuatu kepimpinan yang baik itu bila rakyat berdoa padanya dan dia berdoa kepada rakyat, tetapi bila rakyat sudah tidak berdoa kepadanya dan dia juga benci kan rakyat, masa itulah kepimpinan sudah tidak layak lagi. Kita berdoa semoga semuanya sentiasa dirahmati Allah dan Malaysia terhindar daripada marabahaya, malapetaka. Terima kasih. 

Timbalan Yang di-Pertua [Puan Alice Lau Kiong Yieng]: Terima kasih, Yang Berhormat Arau. Saya jemput Yang Berhormat Pulai. 

 

2.39 ptg. 

  Tuan Suhaizan bin Kaiat [Pulai]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua.   

Fasal 3, 4, 5 dan 6, kesemua ini adalah berkaitan dengan kaedah mengawal merebaknya penyakit berjangkit seperti yang diketahui semasa pandemik COVID-19 sehingga hari ini pihak kerajaan menggunakan Ordinan Darurat, subseksyen 11(2) dan juga subseksyen 11(1) untuk menguatkuasakan kaedah kuarantin dan sebagainya dengan mewujudkan pelbagai perintah kawalan. Oleh itu kemasukan seksyen 14A dan pindaan seksyen 10 ini diharap dapat membantu pihak KKM untuk menguruskan kawalan penyakit dengan lebih terurus dan lebih cepat. 

 Persoalan yang berbangkit daripada perkara ini adalah saya mohon pihak kementerian menjelaskan adakah pihak kementerian telah menyediakan satu pelan perancangan yang terperinci untuk melaksanakan akta ini setelah diluluskan, terutamanya yang melibatkan fasiliti ataupun tempat kawalan penyakit kuarantin itu? 

■1440 

Sebagai contoh, jika sesuatu out break itu berlaku di institusi pengajian, adakah pelan tindakan itu akan dilaksanakan oleh pihak kementerian secara langsung atau akan diturunkan kepada pihak institusi pengajian berkenaan untuk melaksanakannya? Kerana jika dilihat pada situasi COVID-19 yang lalu, pelaksanaan di institusi pengajian ini berbeza mengikut lokaliti masing-masing. Jadi, bagaimanakah pihak kementerian dapat menyeragamkan pelan tindakan ini supaya ianya selaras dan tidak menimbulkan satu keadaan yang huru-hara?  

Timbalan Speaker, bagi peruntukan baharu seksyen 15A berkaitan dengan peranti pengesan ataupun tracker device yang dipasang kepada pesakit, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian, apakah status pengguna tracker device ini pada waktu ini dan bagaimana peranti ini dapat dipastikan ia dapat berfungsi? Saya ada pengalaman menggunakan device ini. Tahun 2021 semasa saya balik daripada umrah, saya dan isteri saya adalah batch pertama menggunakan device ini. Ada gelang, satu gelang, ada lagi satu receiver dia bagi kepada kita. Jadi gelang ini kami pakai suami isteri, tetapi isteri saya itu device sampai rumah tercabut dah, tidak boleh digunakan pun.  

Setelah dua minggu saya serahkan device ini ke klinik yang telah ditetapkan, lebih kurang dalam 20 kilometer. Isteri saya di rumah masa itu suspek COVID. Device dia itu saya bawa sekali ke klinik itu dalam jarak 20 kilometer untuk diserahkan, tetapi tidak ada pihak pun waktu itu yang follow-up kepada isteri saya di rumah menyatakan bahawa dia sudah terkeluar daripada boundary yang ditetapkan.  

Saya lihat ini adalah satu kelemahan pada waktu itu di mana tracker itu tidak dapat dikesan oleh pihak KKM dan KKM tidak membuat follow-up pun kepada pesakit-pesakit yang terlibat waktu itu. Itu kelemahan pada waktu itu. Jadi persoalannya, apakah device ataupun sistem ini telah diperbaiki untuk berdepan dengan masalah-masalah pada masa akan datang?  

Merujuk kepada seksyen 21A, kuasa yang diberikan kepada ketua pengarah ini agak besar. Saya faham berkenaan dengan niat sebenar di sebalik seksyen ini, namun apakah langkah dan panduan yang ditetapkan oleh pihak kementerian kepada seorang ketua pengarah iaitu supaya kuasa ini tidak disalahgunakan dan sesekali tidak mengakibatkan polisi dua darjat ini? Kita tidak mahu kerana penyalahgunaan kuasa ini, rakyat yang menanggung keperitan terpaksa menanggung masalah akibat daripada masalah dua darjat ini.   

Juga subseksyen 31(3) yang dibawa masuk dalam Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 iaitu hukuman denda sebanyak RM8,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-keduanya untuk individu dan RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan kedua-duanya untuk pertubuhan dan perbadanan yang melanggar akta ini dilihat terlalu membebankan. Kita bimbang peraturan-peraturan yang selalu berlaku ini dalam konteks pandemik, penyakit berjangkit ini selalu berubah seperti mana kita hadapi semasa COVID yang lalu.  

Jadi, mungkin mereka tidak boleh dapat mengetahui maklumat terkini perkara ini, tetapi mungkin mereka didenda kerana kelemahan itu. Jadi kepada mereka yang berpendapatan kecil, RM8,000 ini agak besar dan ia boleh menyebabkan membebankan mereka. Begitu juga yang pertubuhan ini, apakah jumlah RM50,000 ini akan dikenakan kepada syarikat-syarikat yang disebabkan oleh pekerja-pekerja mereka yang tidak melaksanakan tanggungjawab ataupun ingkar terhadap keputusan KKM? Mohon penjelasan. Sekian, terima kasih. 

Timbalan Yang di-Pertua [Puan Alice Lau Kiong Yieng]: Terima kasih Yang Berhormat Pulai. Saya jemput Yang Berhormat Jelutong. 

 

2.44 ptg 

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Terima kasih Timbalan Speaker. Saya juga turut serta dalam perbahasan rang undang-undang ini. Saya ingin bertanyakan beberapa soalan kepada kementerian dan Menteri berkenaan. Kita mendapati bahawa wabak COVID ini masih lagi berleluasa di negara kita dan ada ramai lagi yang masih dari semasa ke semasa terutamanya warga emas yang menghadapi masalah kesihatan dan menjadi mangsa kepada penyakit COVID.  

Pada masa yang sama, kita lihat daripada laporan surat khabar The Star yang dilaporkan mengatakan bahawa vaksin COVID bernilai lebih kurang RM505 juta tidak digunakan dan telah pun mungkin telah tamat riwayat penggunaannya. Saya difahamkan daripada laporan The Star juga bahawa jumlah yang rosak atau tidak digunakan, yang dibazirkan istilah yang betul adalah lebih kurang 8.5 juta dos vaksin COVID. 

Saya hendak tanya kepada kementerian dan Menteri berkenaan, bagaimanakah pembaziran ini berlaku dan boleh berlaku? Saya mengambil maklum bahawa ketika kita menghadapi wabak COVID ini, kita tidak berada dalam kerajaan. 

Kerajaan dipimpin oleh Yang Berhormat Pagoh.  

Saya ingin bertanya, bagaimanakah cara pemerolehan itu dibuat dan kenapa tidak kementerian yang ada sekarang cuba untuk memperhalusi dan melihat kepada bekalan vaksin yang ada untuk melihat kalau ada daripada vaksin-vaksin ini yang masih boleh diselamatkan dan digunakan sama ada oleh rakyat kita ataupun boleh dihantar ke negara-negara lain yang mungkin tidak mempunyai kewangan yang kukuh seperti Malaysia untuk membantu mereka. Umpamanya di negara seperti Myanmar, Bangladesh dan sebagainya.  

Saya tanya soalan ini kerana pada suatu masa yang dahulu, kita lihat vaksin CIVID atau vaksin untuk COVID-19-adalah sesuatu yang wajib, wajar diambil. Pada masa sekarang, saranan adalah masih lagi untuk mengambil vaksin ini, tetapi persoalan adalah bagaimanakah kita boleh membazirkan vaksin yang masih ada dalam milikan bekalan Kementerian Kesihatan kerana jumlah yang mencecah RM505 juta ini adalah jumlah yang begitu banyak sekali. Soalan saya adalah kenapakah tidak ada sebarang tindakan diambil oleh kementerian untuk kita menyelamatkan vaksin-vaksin ini sama ada dos pertama, dos kedua atau dos ketiga... 

Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh? 

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Kinabatangan. Silakan. 

Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Ya. Yang Berhormat, sedarkah Yang Berhormat bahawa pembaziran tersebut telah mengakibatkan syarikat GLC, Pharmaniaga telah berhadapan dengan kerugian yang besar? Jadi, apakah Yang Berhormat membawa perkara ini supaya disiasat secara detil, siapa yang buat kesilapan dalam perkara ini? 

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang]: Yang Berhormat, minta sekali. 

Tambah, tambahlah sokong dulu. Terima kasih. 

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Pendang. Pendang hari pertama, okey kita berkawan semula. Saya benarkan . 

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang]: Terima kasih Jelutong. Terima kasih Puan Yang di-Pertua.  

Saya setuju bila sebut pembaziran. Apabila kita sebut pembaziran, satu tata kelola yang tidak mengikut prosedur. Jadi saya harap, saya boleh cadangkan kepada Yang Berhormat Jelutong yang sekarang menjadi kerajaan supaya buat repot. Buat repot polis atau SPRM untuk mereka menjalankan siasatan. Sekiranya berlaku salah tadbir urus ataupun pembaziran ini, maka boleh dibuat tangkapan daripada sekarang kerana mereka telah melakukan satu pembaziran. Itu yang pertama.  

Yang keduanya saya hendak tanya juga, mana lebih penting antara nyawa dengan duit yang kita belanjakan untuk menyelamatkan nyawa, manakah yang lebih penting antara dua ini? Terima kasih. 

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Terima kasih sahabat saya Pendang. Kita hari pertama kita jalan. Kita jaga ukhuwah, jaga ukhuwah. Okey. Kita walaupun berbeza pendapat, tetapi kita menyumbang kepada perkara yang penting. Itu persoalan saya Timbalan Speaker, kerana jumlah yang dinyatakan oleh laporan The Star ini amat memeranjatkan, RM505 juta vaksin yang telah pun dibazirkan. Persoalan saya, kenapa tidak digunakan?  

Dalam saat-saat terakhir, saya ingin membawa kepada Dewan yang mulia ini, satu lagi perkara iaitu pendakwaan di bawah seksyen 9, ‘’Tiada pendakwaan bagi atau berhubung dengan apa-apa kesalahan di bawah akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta ini boleh dimulakan kecuali atau dengan keizinan bertulis pendakwa raya”.  

 

 

■1450 

  Cuma Timbalan Speaker, saranan saya ketika kita menghadapi wabak 

COVID, kita lihat bahawa rakyat jelata di luar sana yang tidak mematuhi PKP, PKPP, macam-macam PPP dikenakan oleh Pagoh. Rakyat di luar sana ditangkap, diheret ke mahkamah dan dituduh. Kita terperanjat apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, bukan Timbalan Speaker sekaranglah. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Batu Pahat ketika itu Datuk Rashid Hasnon sibuk berpesta makan durian, tidak diambil tindakan. 

So, kita nak pastikan saranan saya Jelutong adalah kalau kita nak mengambil tindakan, ia adalah sepatutnya sama rata supaya semua tidak kita memberikan layanan istimewa kepada di antara dua darjat. So, itu lah permintaan saya dan saya menyokong penuh rang undang-undang ini yang dibentangkan. Terima kasih Timbalan Speaker. 

Timbalan Yang di-Pertua [Puan Alice Lau Kiong Yieng]: Terima kasih Yang Berhormat Jelutong. Saya bagi pembahas terakhir Yang Berhormat Bangi. 

 

2.51 ptg. 

Tuan Syahredzan bin Johan [Bangi]: Terima kasih Puan Yang di-Pertua. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan rang undang-undang ini. Is good to be back Puan Speaker. Akta 342 Puan Speaker sebelum ini dipinda melalui Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan pada ketika itu darurat telah diisytiharkan dan Parlimen ini, Dewan ini telah digantung. 

Pada ketika itu, badan legislatif telah dimandulkan kalau kita ambil kata-kata YB Menteri Pengerang pada ketika itu apabila persidangan Parlimen digantung melalui proklamasi darurat dan ordinan yang dimasyhurkan. Pada ketika itu Puan Speaker, pindaan yang dibuat melalui ordinan tersebut dikritik hebat dan telah mengakibatkan ketidakadilan yang berlaku di seluruh negara yang kita dah dengar pada hari ini juga daripada perbahasan-perbahasan rakan-rakan saya di sini. 

Dan ini menunjukkan Puan Speaker bahawa apabila ada undang-undang yang dibuat tanpa melalui Dewan ini, tanpa melalui Dewan yang mulia ini, tanpa semak dan imbang, ia seperti memberikan satu, dengan izin, blank check kepada pihak eksekutif untuk berbuat apa sahaja. Sudah terbukti Puan Speaker bahawa undang-undang yang dibuat melalui Ordinan Darurat seperti ini akan penuh dengan cacat dan cela. 

Ordinan ini kita tahu telah diungkai apabila darurat berakhir. Maka timbul keperluan pada ketika ini untuk membentangkan RUU ini bagi meminda Akta 342 supaya ia dapat menangani wabak pada skala COVID-19 yang sebelum ini kita tidak pernah lihat dalam generasi kita Puan Speaker untuk kita hadapi pada masa hadapan, menginsafi kelemahan yang ada pada ordinan sebelum ini. 

Puan Speaker, saya telah membandingkan RUU ini dengan pindaan yang dibuat melalui Ordinan Darurat dan saya dapati bahawa secara amnya pindaan yang dicadangkan dalam RUU ini adalah lebih baik daripada pindaan yang telah dibuat melalui Ordinan Darurat. Saya bagi contoh, penalti am pada seksyen 24 apabila dipinda melalui Ordinan Darurat memperuntukkan bahawa denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih daripada tujuh tahun, tetapi dalam rang undang-undang ini kalau kita tengok seksyen 24, ianya akan dipinda supaya hukuman bergantung kepada pelaku. RM10,000 atau dua tahun penjara bagi individu, RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan. 

Dan saya fikir ini lebih adil membezakan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh individu kadangkala melibatkan mereka yang berpendapatan rendah dan denda sehingga RM100,000 sudah tentu akan menjadi terlalu menekan Puan Speaker. Di samping itu, pesalah juga boleh di kompaun RM5,000 di bawah rang undang-undang ini berbanding RM10,000 dalam pindaan Ordinan Darurat yang telah dibuat sebelum ini

Isnin, 19 Ogos 2019

Peacemaker Batu Pahat


BeLeranG Merah  
Peacemaker Batu Pahat dan Persatuan Kebajikan Ci Ai Batu Pahat. 

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya."
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 1893)
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/08/485834/bayi-12-tahun